Sehingga tahun 1967, unit masa diukur secara saintifik oleh corak astronomi: putaran bumi dan peredarannya mengelilingi matahari. Tetapi setelah berabad-abad, satu masalah muncul. Putaran bumi sebenarnya semakin perlahan dalam orbitnya. Para saintis mendapati bahawa unit “saat” adalah lebih panjang daripada dahulu. Walaupun proses ini berlaku secara beransur-ansur, sejak zaman Kristus, dunia telah “kehilangan” tiga jam secara keseluruhan mengikut ukuran masa.
Sudah tentu, Tuhan mencipta cara kita mengukur masa: astronomi orbit dan putaran. Pengiraan saintis mungkin kurang tepat daripada yang kita sangka, tetapi kita boleh berpegang teguh dalam kata-kata Petrus: “Di sisi Tuhan satu hari serupa seribu tahun, dan seribu tahun serupa satu hari” (2 Petrus 3:8). Dia berhujah terhadap orang yang ragu-ragu dan mengadu bahawa Yesus belum kembali. “Tuhan bukannya lengah menepati janji, seperti sangkaan sesetengah orang” (ayat 9). Tuhan bekerja mengikut waktu-Nya sendiri untuk tujuan-Nya sendiri.
Ada lagi! “Masa” Tuhan lahir daripada kasih-Nya: “[Tuhan] amat bersabar dengan kita, kerana Dia tidak mahu seorang pun binasa” (ayat 9). Yesus akan kembali, dan Tuhan mahu semua orang mempunyai peluang untuk datang kepada-Nya. Inilah ungkapan kasih-Nya. Sementara itu, kita perlu “berusahalah untuk hidup suci, tidak bercela” (ayat 14).
Masa, Tuhan, dan kasih berpadu erat: Pada hari-hari terakhir ini, kasih Tuhan tidak pernah rapuh. Ia tetap teguh—satu-satunya kepastian yang tak tergoyahkan.
