“Aku bersyukur kepada Tuhan atas kebaikan-Nya,” tertulis pada plak itu, “kerana mengizinkan aku terlibat untuk membina jalan raya yang luas ini sebagai rangka kepada gambaran indah yang diciptakan-Nya.” Inskripsi itu ditulis oleh jurutera lebuh raya Samuel Christopher Lancaster pada tahun 1915. Plak tersebut terletak di sebuah tempat tinggi berpemandangan indah di lebuh raya yang direka ciptanya. Jalan tersebut akan membawa pemandu menyusuri Gaung Sungai Columbia yang menakjubkan dengan berlatarkan hutan rimba, air terjun dan cenuram berbatu.

Memang mudah tergoda untuk menerima pujian atas sumber dan pencapaian kita atau menggunakannya untuk mengangkat diri. Sebaliknya, bagaimana jadinya jika kita menganggap segala pencapaian ini sebagai “rangka” sederhana di sekeliling karya agung Tuhan? Satu contohnya ialah ketika Musa mengajak orang Israel membawa persembahan khusus untuk membina Khemah Suci (Keluaran 35:5). “Semua orang yang tergerak hati mereka dan semua orang yang ikhlas jiwa” menyumbangkan apa yang mereka ada: logam mulia dan batu permata, linen, kulit, kayu, rempah-ratus, dan minyak (ayat 21-28). Barang-barang mahal ini dipersembahkan daripada hati yang ikhlas untuk menunaikan apa yang diperintahkan oleh Tuhan (ayat 29). Sesetengah tukang mahir sangat berbakat. Akan tetapi, semua orang dapat menyumbangkan sesuatu, seperti wanita yang mahir memintal bulu kambing (ayat 26).

Apa yang paling penting pada masa itu, dan hari ini, ialah sikap hati pemberi. “Bawalah persembahan khusus daripada harta bendamu kepada TUHAN” (ayat 5). Pada masa itulah sumber daya kita digunakan sebaik-baiknya.