Ketika membesar dalam keluarga bangsa Afrika-Amerika, hidangan di rumah kami sering kali merangkumi “makanan jiwa” yang mengecurkan air liur. Istilah ini berasal daripada pertengahan tahun 1960-an ketika “jiwa” merupakan istilah umum yang digunakan untuk menghuraikan budaya bangsa Afrika di Amerika. Menu makanan jiwa termasuklah ayam goreng, makaroni dan keju, sayur-sayuran, ubi keledek, roti jagung, dan banyak lagi. Pencuci mulut menjadi kejutan; puding pic yang “sangat meliurkan” paling memuaskan selera saya. Betapa mewahnya semua halwa nikmat itu!

Hidangan dalam budaya yang berbeza kelihatan berbeza, tetapi oleh sebab makanan adalah mustahak untuk kehidupan, kata-kata Yesus dalam Yohanes 6:35 adalah penting bagi semua orang: “Akulah roti hidup itu. Sesiapa datang kepada-Ku tidak akan lapar lagi, dan sesiapa yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga lagi.”

Pengakuan seperti ini sangat mengejutkan jika dibuat oleh manusia biasa. Akan tetapi, Yesus, Kristus, boleh membuat pengakuan yang begitu mengagumkan kerana Dialah Anak Allah. Dia memberitahu “pencari tanda-tanda ajaib”—mereka yang mencari manfaat segera jangka pendek (baca ayat 2, 14, 26, 30)—bahawa kepuasan bagi kelaparan fizikal tidak cukup. Sebagai Anak Allah, Yesuslah sumber kehidupan sejati (14:6) dan pemelihara hidup. Setiap orang yang percaya kepada Dia akan menerima hidup yang baharu melalui anugerah pengampunan dosa oleh kematian dan kebangkitan-Nya(11:25-26). Yesuslah “makanan” yang terpenting bagi jiwa kita. Kehidupan, khasiat rohani dan kepuasan sejati hanya ditemukan di dalam Yesus.