Apabila saya dan suami, Alan, memutuskan untuk berpindah ke Philadelphia untuk melanjutkan pelajarannya, saya belum mendapatkan peluang pekerjaan di sana, dan kami tidak tahu bagaimana kami mampu membayar sewa rumah. Pada suatu hari Ahad, sejurus sebelum kami bertolak, seorang kenalan gereja memperkenalkan kami kepada seorang saudara yang pernah belajar di universiti yang akan dihadiri oleh Alan. Kebetulan dia mengetahui sebuah apartmen untuk disewa dengan harga yang berpatutan. Kemudian, sebelum kami pergi, seorang rakan sekerja memberi saya nama seorang kenalan di sebuah organisasi Kristian. Tuhan menjawab doa kami dan memberi kami peluang—termasuk apartmen dan pekerjaan—melalui umat-Nya. Rakan-rakan dan keluarga membantu kami berpindah dan mendoakan perjalanan kami.
Penulis kitab Pengkhutbah menulis tentang manfaat tidak menjalani hidup bersendirian: “Berdua lebih baik daripada bersendiri” (4:9). Dua orang menyelesaikan lebih banyak kerja, dapat saling membantu menghadapi pergelutan, menjadi teman, dan menjauhi bahaya (ayat 9-11). Dia seterusnya berkata, “Tiga utas tali yang dipintal memang tidak mudah diputuskan” (ayat 12). Sebuah komuniti mempunyai manfaat yang jauh lebih banyak. Tegasnya, lebih banyak sumber, lebih banyak sokongan.
Saya dan Alan mendapat manfaat daripada komuniti lama kami. Tuhan juga menolong kami membina komuniti baharu untuk membantu kami berasa seperti di rumah sendiri di bandar besar. Jika anda berasa keseorangan, mintalah Tuhan untuk menolong anda mencari rakan, jemaah, atau peluang untuk melayani komuniti anda.
