“Aku mengangkat mataku, tetapi dikaburkan oleh kesedihan/ Tiada bukit abadi yang kulihat,” tulis penyair zaman Victoria, Christina Rosetti dalam puisinya “A Better Resurrection” yang memilukan. Puisi Rosetti menggambarkan usaha menggenggam harapan apabila dia merasakan langsung tidak ada, “mati rasa sama sekali terhadap harapan atau ketakutan.” Namun begitu, Rosetti bersauh dalam harapan yang lebih teguh daripada rasa putus harapannya. Walaupun dia tidak melihat “tunas ataupun kehijauan” yang menunjukkan kebangkitan Kristus yang membaharui hidupnya, dia mengaku: “Namun bangkitlah ia” dan berdoa, “Ya Yesus, bangkitlah aku.”

Dalam kitab 2 Korintus, rasul Paulus juga menggambarkan kesusahan yang menimpanya “lebih daripada yang terdaya [di]tanggung[nya], sehingga [dia] putus asa untuk terus hidup” (1:8). Akan tetapi, Paulus mendapati bahawa keputusasaan ini yang mengajarnya untuk menaruh harapannya hanya kepada “Allah yang menghidupkan semula orang mati” (ayat 9).

Paulus juga belajar bahawa walaupun tubuh kita yang bagaikan “bejana tanah liat” masih tidak sempurna, namun oleh sebab kita kita mempunyai harapan Injil, kehidupan serta pengharapan daripada kebangkitan Kristus nyata kelihatan melalui kita, memperlihatkan “bahawa kuasa yang melebihi segala-galanya berasal daripada Allah, bukan daripada diri sendiri” (4:7).

Perubahan ini juga berlaku dalam puisi Rosetti. Ketika dia mengangkat hatinya yang hancur kepada Tuhan, dia hanya berdoa agar serpihan-serpihan hidupnya “dibuang ke dalam api” untuk dibentuk dan diubah semula menjadi sesuatu persembahan “demi-Nya, Rajaku.” Puisinya diakhiri dengan ringkas: “Ya Yesus, pakailah aku.”