Amina telah percaya kepada Kristus di sebuah negara yang mengharamkan agama Kristian. Dia mula berkongsi iman baharunya dengan abangnya yang menolak imannya. Kemudian abangnya menghidap penyakit paru-paru yang berbahaya. Ketika bersendirian di dalam bilik hospital yang gelap, dia tercungap-cungap menarik nafas. Dia belum bersedia untuk mengaku Yesus sebagai Anak Allah, dan dia takut untuk menyebut nama Kristus. (Sebab orang lain mungkin mendengarnya!) Jadi dia berseru, “Tuhan Amina, tolonglah aku sekarang!” Tiba-tiba, dia dapat bernafas dengan mudah, dan tanpa tahu apa sebabnya, bilik itu menjadi cerah. Perjalanannya untuk mempercayai Yesus bermula pada hari itu.

Dalam kitab Kejadian, hamba Abraham pergi mencari isteri untuk anak tuannya. Pertama, dia berdoa kepada “TUHAN, Allah tuanku Abraham” (24:12). Mengapa? Hamba itu tahu bahawa Tuhan telah berfirman kepada Abraham, “Aku akan membuat kamu menjadi suatu bangsa yang besar” (12:2). Tuhan mengulangi janji itu (15:2-5), dan “Abram percaya kepada TUHAN, dan TUHAN memperhitungkan hal itu baginya sebagai perbenaran” (ayat 6). Hamba itu boleh mempercayai “TUHAN, Allah tuanku Abraham” (24:27, 42, 48) kerana dia telah menyaksikan iman sejati Abraham.

Kita boleh mengajak orang lain untuk percaya kepada Yesus melalui kata-kata kita. Walau bagaimanapun, yang pentingnya ialah cara hidup kita di hadapan mereka. Orang Kristian yang memiliki iman yang sejati kepada Tuhan yang esa adalah lebih meyakinkan daripada kata-kata.

Semoga Tuhan Abraham dan Tuhan Amina memakai hidup kita untuk membuat orang lain tertarik kepada-Nya.