Dahan-dahan pokok yang semak dengan daun tumbuh ke arah atas seperti tangan yang terangkat ke langit. Pokok-pokok unik itu yang kami lihat semasa mengembara berjalan kaki di Taman Negara Joshua Tree di California menarik minat kami. Ramai orang percaya bahawa pokok-pokok itu digelar “Pokok Yosua” oleh para perintis, kerana bentuknya mengingatkan mereka kepada satu kisah Perjanjian Lama, iaitu ketika Yosua mengacungkan lembing sebagai tanda hadirat dan pertolongan Tuhan.

Selepas memasuki Kanaan, orang Israel memerlukan pertolongan Tuhan dalam pertempuran. Selepas dikalahkan di kota Ai kerana dosa mereka (Yosua 7:11-12), orang Israel mungkin takut untuk melawan kota itu sekali lagi. Akan tetapi, Tuhan menguatkan hati Yosua, “Jangan takut dan jangan kecut hati” (8:1). Kemudian Tuhan berfirman kepada Yosua, “ Hulurkanlah lembing yang ada di tanganmu itu ke arah Ai, kerana Aku akan menyerahkannya ke dalam tanganmu” (ayat 18). Yosua mentaati Tuhan dan “tidak menarik kembali tangannya yang menghulurkan lembing itu” sehingga pertempuran itu dimenangi (ayat 26). Lembing di tangan Yosua yang terentang bukannya kunci kemenangan. Sebaliknya, ia merupakan simbol janji Tuhan bahawa Dia akan menolong dan menyertai mereka.

Peringatan tentang hadirat Tuhan yang menyertai kita boleh membantu apabila kita menghadapi cabaran yang sukar. Ayat Alkitab yang dipamerkan di rumah kita, gambar ciptaan Tuhan yang menakjubkan, rantai leher berloket salib: Benda-benda ini tidak memberi pertolongan, tetapi Tuhan dapat menggunakannya untuk mengingatkan kita tentang hadirat dan kuasa-Nya yang dijanjikan.