Hari itu Ahad Palma, hari untuk meraikan kemasukan Yesus yang penuh kemenangan ke Yerusalem. Bagaimanapun, bagi Mary Edwar, ia menjadi masa yang sangat menyedihkan. Ketika meninggalkan gereja mereka selepas kebaktian, dia dan suaminya, Kareem, sedang berpegangan tangan ketika sebutir bom meletup. Bom itu membunuh Kareem dan mencederakan Mary, lalu menyebabkan dia keguguran kandungan.
Semasa Mary pulih daripada keguguran, dia berasa sangat marah sambil berdukacita atas kematian suami dan anaknya. Akan tetapi, entah bagaimana membaca Alkitab menenangkan “gunung berapi dalam hatinya.” Khususnya, apabila dia bergelut untuk memahami mengapa Tuhan membenarkan peristiwa yang kejam itu berlaku, Yesaya 55:9 menguatkannya: “Setinggi langit di atas bumi, demikianlah tingginya jalan-Ku daripada jalanmu.” Apabila Mary mengerti bahawa Tuhan tetap menghulurkan rahmat walaupun Dia dilupakan malah tidak dimuliakan, dia mengalami ketenangan dalam jiwanya oleh Roh Tuhan.
Mary merenungkan mesej Yesaya daripada Tuhan kepada umat-Nya yang sesat. Semasa memanggil mereka kembali kepada-Nya, Tuhan ingin meluaskan pemahaman mereka tentang sifat-Nya yang penuh belas kasihan. Sebagaimana langit “jauh tinggi” di atas bumi, begitu juga jalan Tuhan “jauh tinggi” di atas jalan mereka (ayat 9, FAYH). Begitu juga Tuhan akan menunjukkan kasih dan rahmat-Nya, lebih daripada apa yang dapat dibayangkan oleh mereka.
Dalam keadaan yang amat berdukacita, Mary tertakjub untuk menerima kurnia damai sejahtera daripada Tuhan. Dia menyambut kasih Yesus yang menghiburkan, yang dicurahkan-Nya dalam peristiwa-peristiwa yang kita peringati semasa Minggu Suci. Tuhan juga ingin memberi kita damai sejahtera-Nya; kita hanya perlu berpaling kepada-Nya.
