Di atas meja saya terletak satu papan memo peringatan. Di papan itu dilekatkan senarai, “10 Tabiat untuk Kesihatan yang Hebat,” yang saya potong dari majalah nutrisi bertahun-tahun yang lalu. Baru-baru ini, saya terkejut kerana walaupun saya melihat senarai ini setiap hari, saya hanya dapat mengingati empat perkara. Senarai itu ialah bahagian yang begitu biasa dalam persekitaran harian saya, sehingga saya hanya melihatnya tanpa memberi perhatian sesungguh atau melakukan apa yang tertera padanya.

Yakobus menggambarkan sesuatu yang serupa dalam sikap kebanyakan orang percaya terhadap firman Tuhan: “Seseorang yang mendengar firman tetapi tidak melakukannya adalah ibarat orang yang berdiri di hadapan cermin, meneliti dirinya, kemudian pergi dari situ dan terus lupa akan rupanya” (Yakobus 1:23-24). Ramai pengikut Kristus menyedari apa yang dikatakan dalam Alkitab. Walau bagaimanapun, kita mungkin “hanya mendengar firman” (ayat 22), dan sejauh mana kita mentaatinya berakhir di situ sahaja. Dengan cara ini, kita sebenarnya sedang menipu diri kita sendiri tentang kuasa dan autoriti firman Tuhan, gagal melihat bahawa Alkitab mengandungi “hukum yang sempurna, iaitu hukum yang dapat membebaskan [kita]” (ayat 25).

Yakobus memberitahu kita untuk menjadi “pelaku firman” (ayat 22 TB). Seorang “pelaku” melihat firman Tuhan “dengan teliti” dan “[bertekun] di dalamnya” (ayat 25 TB), serta “melakukan firman itu” (ayat 22) secara konsisten. Menuruti perintah Tuhan bukan sahaja sesuatu yang kita lakukan, tetapi sesuatu yang patut lahir daripada gaya hidup kita. Dengan kekuatan yang diberikan Tuhan, kita dapat melakukan firman-Nya dalam hidup kita.