Apabila Mark ditahan oleh seorang pegawai kerana memandu dalam keadaan mabuk, dia takut kerjayanya dalam bola sepak Amerika akan musnah. Dia pasti bahawa dia akan dipenjarakan. Tetapi anggota polis itu sebaliknya menghantar dia kembali ke kampusnya. Apabila Mark bertanya mengapa, dia berkata, “Saya memberi anda pengampunan.”

Namun, pemuda itu yakin jurulatihnya akan mengetahuinya, dan dia akan kehilangan biasiswanya. Jadi apabila jurulatihnya meminta untuk berjumpa Mark selepas latihan pada keesokan harinya, dia sangat bimbang. Anehnya, jurulatih itu berkata, “Saya tahu apa yang berlaku malam tadi, tetapi saya memberi anda pengampunan.” Kemudian, dia mencadangkan agar Mark mempertimbangkan untuk datang ke gereja pada Ahad berikutnya.

Dia pun pergi. Dan cuba teka apa yang disampaikan oleh pastor itu? Pengampunan (atau kasih kurnia) Yesus yang menawarkan kita keselamatan apabila kita tidak layak menerimanya. Mark menyimpan mesej dalam hatinya. Pada hari itu, dia mempercayai Yesus sebagai Penyelamat, dan dia menghabiskan sisa hidupnya untuk melayani-Nya. Dia juga menubuhkan sebuah pusat pemulihan dan bimbingan untuk kanak-kanak lelaki yang memerlukan peluang kedua—yang memerlukan kasih kurnia.

Kerana dengan kasih kurnia Tuhan, orang yang percaya kepada Yesus “telah diselamatkan” (Efesus 2:8). Kasih kurnia melakukan apa yang tidak dapat diselesaikan oleh perbuatan baik (ayat 9; Roma 11:6). Ia adalah anugerah yang diberikan oleh pengorbanan Yesus di kayu salib.

Beban dosa kita tidak perlu membebani kita. Seperti yang ditemukan oleh Mark, kasih kurnia Tuhan dapat membebaskan kita dan memberi kita hidup “yang berlimpah-limpah” (Yohanes 10:10). Dan apabila kita mempercayai Yesus sebagai Penyelamat kita, kuasa kurnia Tuhan akan membebaskan kita (Efesus 2:4-5).