Alan ialah seorang petani buah-buahan generasi kelima yang memelihara kebun ceri, pic dan epal milik keluarganya. Selama bertahun-tahun, keluarganya telah menyempurnakan teknik penanaman pokok agar menghasilkan tuaian maksimum. Mereka telah menanam anak pokok dengan teliti untuk masa depan, memasang pagar bagi menghalang rusa, dan melabur dalam kipas khas yang membantu mengekalkan udara hangat apabila fros mengancam tanaman mereka. Walaupun begitu, mereka tidak pernah dijamin akan mendapatkan tuaian yang baik. Faktor-faktor seperti cuaca, pendebungaan, dan penyakit berada di luar kawalan mereka.

Namun, seluruh alam semula jadi berada di bawah kawalan Tuhan. Dia tahu kita memerlukan bekalan fizikal seperti tanaman yang sihat, tetapi Dia mengajar kita supaya lebih percaya dan mengutamakan Dia, kerana Dialah yang terpenting dalam hidup. Kitab Imamat mengandungi perintah yang diberikan Tuhan kepada bangsa Israel yang mentadbir segala-galanya, baik dari segi korban dan penyembahan, hinggalah kepada hubungan dan keadilan jenayah. Ketaatan pada perintah-Nya membawa berkat, termasuk tuaian yang berlimpah (26:3-4), tetapi ketidaktaatan akan mengakibatkan kutukan, sehingga musuh mereka akan menikmati hasil kerja mereka (ayat 16). Lebih daripada sekadar hasil tanaman yang berlimpah (ayat 10), berkat Tuhan merangkumi janji untuk tinggal bersama umat-Nya (ayat 11) dan “memberkati” mereka (ayat 9 TMV).

Umat Israel berulang kali melakukan kesilapan. Kita juga berbuat demikian. Tetapi kita boleh bertaubat, tunduk dan kembali untuk menikmati kurnia kehadiran-Nya (ayat 40-42), yang dimanifestasikan dalam Yesus dan kini dimanifestasikan melalui Roh Kudus.