Kiribati, sebuah negara kepulauan di Lautan Pasifik, merupakan satu-satunya negara di dunia yang terletak dalam keempat-empat hemisfera bumi. Tiga puluh tiga buah pulau Kiribati merentasi garisan khatulistiwa dan garis longitud 180 darjah. Negara ini juga tergolong antara negara yang paling terpencil di dunia.

Kita melayani Tuhan yang mengambil berat tentang tempat-tempat yang jauh dan terpencil seperti ini. Ketika Yesus mengajar murid-murid-Nya sebelum Dia kembali ke syurga, Dia berkata kepada mereka, “Tetapi kamu akan menerima kuasa apabila Roh Kudus datang ke atasmu; dan kamu akan menjadi saksi-Ku di Yerusalem, di seluruh Yudea dan Samaria, bahkan sampai ke hujung bumi” (Kisah Para Rasul 1:8). Ungkapan “ke hujung bumi” ialah satu seruan untuk menyampaikan berita Injil ke tempat-tempat yang terpencil di dunia. Namun, seruan itu tidak terhad kepada tempat-tempat terpencil sahaja. Ia juga termasuk di tempat mereka sedang berada, iaitu di Yerusalem dan kawasan berdekatan Yudea dan Samaria.

Selepas Yesus menyampaikan kata-kata terakhir-Nya kepada murid-murid-Nya, “di hadapan mata mereka Dia diangkat lalu disambut awan dan lenyap daripada pandangan mereka” (ayat 9). Kemudian, dua malaikat muncul dan berkata, “Sebagaimana Yesus telah diangkat ke syurga daripada kalanganmu, begitu jugalah Dia datang kelak” (ayat 11).

Injil Yesus Kristus merupakan berita paling penting yang dapat didengar oleh semua orang. Cabaran bagi kita sebagai duta-Nya ialah untuk berkongsi berita ini. Dengan pertolongan Roh Kudus, kita dapat memastikan bahawa semua orang—dekat dan jauh—berpeluang untuk mendengarnya.