Seorang juruterbang dan dua orang anak perempuannya berlepas dari Soldotna, Alaska, untuk bersiar-siar. Walau bagaimanapun, pesawat kecil mereka tidak pernah sampai ke destinasi. Selepas beberapa orang juruterbang tempatan memulakan pencarian, seorang juruterbang bernama Terry Godes akhirnya ternampak bangkai pesawat yang hampir tenggelam di sebuah tasik yang separuh beku. Ketiga-tiga ahli keluarga itu berdiri di atas sayap pesawat selama berjam-jam. Syukurlah, mereka segera diselamatkan oleh Pengawal Kebangsaan. Godes dengan rendah hati mengorbankan masa dan sumber dayanya untuk orang lain, dan tindakannya itu telah menyelamatkan 3 orang. Dengan rendah hati, dia berkata tentang usahanya, “Saya hanyalah orang pertama yang menemukan pesawat itu.”

Raja Daud juga banyak berkorban untuk bangsa Israel, termasuk berperang untuk menyelamatkan mereka daripada musuh (1 Tawarikh 14:8-17). Kemudian, dia mendengar daripada nabi Natan bahawa melalui keturunannya, sebuah takhta akan “kukuh untuk selama-lamanya,” seperti yang digenapi melalui Kristus (17:14; lihat Lukas 1:30-33). Dia menjawab dengan rendah hati, “Ya TUHAN Allah, siapakah aku ini dan siapakah keluargaku sehingga Engkau membawa aku sampai sejauh ini?” (1 Tawarikh 17:16). Dia menyedari bahawa hidupnya telah ditentukan oleh Tuhan dan kehendak-Nya (ayat 19), dan Tuhanlah yang melakukan pekerjaan penyelamatan dan penebusan bagi Daud dan bangsanya (ayat 20-22).

Yesus “merendahkan diri-Nya” dan telah berkorban untuk kita (Filipi 2:8). Marilah kita bersandar pada pertolongan-Nya, dengan rendah hati mengorbankan hidup kita demi orang lain.