Bertahun-tahun yang lalu, ketika saya mengunjungi kawasan Amazon di Ecuador bersama ayah saya, kami menaiki bot laju yang menyeronokkan ke sebuah perkampungan kecil untuk menikmati pemandangan dan mempelajari tentang suku kaum tempatan. Ayah tersayang membelikan saya barang kemas buatan tangan, termasuk sepasang anting-anting. Saya hanya memakai anting-anting itu pada majlis-majlis khas, termasuk ketika berkunjung ke rumah kakak saya sempena hari lahir saya. Setibanya saya di rumah, saya terkejut mendapati sebelah anting-anting saya itu hilang. Saya mencarinya di merata tempat.
Itu cuma seutas anting-anting, tetapi untuk menggantikannya, saya terpaksa kembali jauh ke hutan Amazon. Syukurlah, apabila kakak saya kembali ke restoran yang kami kunjungi sempena hari lahir saya, dia ternampak anting-anting yang hilang itu di kaunter barang hilang. Saat itu saya berasa sungguh gembira!
Yesus menceritakan perumpamaan tentang seorang wanita yang kehilangan wang peraknya. Dia tidak berhenti mencari selagi wang peraknya yang berharga itu belum ditemui. Yesus berkata, “Dia akan memasang pelita lalu menyapu rumah dan mencari dengan cermat sehingga dia menemukannya Kembali” (Lukas 15:8). Ketika dia menemukan wang peraknya, dia sangat gembira (ayat 9).
Perumpamaan yang diceritakan oleh Yesus inimenunjukkan betapa berharganya kita di mata Tuhan. Dia “datang untuk mencari dan menyelamatkan” orang yang hilang (Lukas 19:10). Walaupun kita pernah hilang, syurga bersukacita apabila kita ditemukan semula.
