Chris McCandless meninggalkan kehidupan moden untuk menjelajah hutan belantara di Alaska, dengan harapan akan kembali. Ketika dia menyeberangi Sungai Teklanika pada bulan April, ais yang mencair pada musim panas telah menyebabkan sungai itu melimpah menjadi aliran deras yang tidak dapat dilalui. Beberapa bulan kemudian, kerana kehabisan makanan, McCandless tidak dapat kembali. Kematiannya yang tragis dikenang melalui buku dan filem.
Umat Israel kuno harus menyeberangi sungai yang penting untuk memasuki tanah yang dijanjikan. Walau bagaimanapun, “sungai Yordan [ketika itu] meluap keseluruhan” (Yosua 3:15), satu cabaran yang akan membangkitkan iman mereka. Tuhan berfirman kepada Yosua, “Pada hari ini Aku hendak mulai membesarkan engkau di mata seluruh orang Israel, supaya mereka tahu bahawa sebagaimana dahulunya Aku menyertai Musa, demikian jugalah Aku akan menyertai engkau” (ayat 7).
Yosua berkata kepada bangsa itu, “Tabut perjanjian Tuhan semesta bumi akan menyeberang di depanmu” (ayat 11). Dengan membawa tabut itu, para imam melangkah ke dalam Sungai Yordan, “maka air yang turun dari hulu tertahan” (ayat 15-16). Seluruh bangsa Israel menyeberang di dasar sungai yang kering (ayat 17).
Dalam hidup ini, kekadang kita akan menghadapi cabaran yang sangat sukar, seolah-olah menyeberangi sungai yang mustahil untuk dilalui. Situasi sukar yang mustahil ini boleh menguatkan iman kita jika kita bergantung kepada Tuhan, yang memberi jalan penyelesaian. Cabaran terbesar kita ialah peralihan kehidupan di dunia ini kepada kehidupan selepas mati. Tidak kira apa pun cabarannya, Tuhan yang menyertai Musa, Yosua, dan bangsa Israel juga menyediakan jalan untuk kita.
