Trina menerima sekeping tiket percuma untuk satu acara yang tiketnya habis dijual dan menyelitkannya ke dalam Alkitabnya. Beberapa ketika kemudian, anak lelakinya melihat dia sedang gelisah mencari-cari sesuatu di almari makanan. Apabila Trina menjelaskan bahawa dia telah kehilangan Alkitabnya, anaknya bertanya mengapa dia mencarinya di dalam almari makanan. “Kerana saya sudah cari di mana-mana tempat lain, dan acara itu akan bermula dalam masa tiga puluh minit,” jawab Trina. “Saya tidak mahu terlepas walau satu saat pun.” Anaknya tergelak. “Relaks dan tenanglah, mak,” katanya. “Saya rasa mak terlalu takut untuk melepaskan peluang bagi menghadiri acara in.” Trina turut ketawa. Semasa anaknya turut mencari, suami Trina datang. “Kamu tertinggal ini di dalam kereta,” katanya sambil memegang sebuah Alkitab.
Walaupun tidak salah untuk menikmati berkat yang tidak dijangka, peluang besar, atau pengalaman sekali seumur hidup, keinginan untuk menikmati keseronokan boleh berubah menjadi rasa takut jika kita terlepas peluang. Kita juga mungkin tergoda untuk berfikir bahawa Tuhan menahan sesuatu daripada kita atau telah melupakan kita. Namun, “Pencipta langit dan bumi” (Mazmur 121:2) ialah Pemelihara dan Pelindung kita yang sentiasa berjaga dan tidak pernah tidur (ayat 3-7). Jadi, kita tidak perlu risau tentang masalah, kelewatan, atau terlepas peluang. Tuhan akan melindungi “pemergianmu dan kepulanganmu, dari sekarang untuk selama-lamanya” (ayat 8).
Dalam masa-masa kesusahan, musim kelimpahan, dan rancangan Tuhan bagi kita di setiap waktu, kita sentiasa berada dalam pandangan-Nya. Kita tidak akan terlepas daripada rancangan Tuhan untuk kita.
