Selepas mengalami kengerian di Auschwitz (pusat buruh paksa dan penghapusan; dilakukan oleh Nazi Jerman semasa Perang Dunia II), Elie Wiesel hilang kepercayaannya. “Di manakah Engkau, ya Tuhan yang Maha Kasih?” tanyanya, mengimbas kembali kejahatan yang dialaminya dan orang lain. “Pada zaman kanak-kanakku, aku tidak mengharapkan manusia akan menunjukkan kebaikan kepadaku. Tetapi aku mengharapkan segala-galanya daripada-Mu.”

Namun, kemudian Wiesel menyedari bahawa kepercayaannya tidak pernah hilang sepenuhnya. “Kerana aku percaya kepada Tuhan, aku marah kepada Tuhan,” katanya kepada seorang wartawan, “dan aku masih marah.” Tidak mungkin seseorang akan marah kepada orang yang dia tidak percaya wujud.

Kita mungkin berasa susah untuk meluahkan kemarahan kepada Tuhan, tetapi itu berlaku kepada tokoh-tokoh dalam Alkitab. “Engkau telah memperdaya aku, ya TUHAN,” keluh nabi Yeremia (Yeremia 20:7). “Berapa lamakah, ya TUHAN, akan Kau lupakan aku selama-lamanya?” tulis Daud (Mazmur 13:1). “Allah telah berlaku tidak adil terhadap aku,” kata Ayub (Ayub 19:6, TB). Tanpa menyedari peranan Iblis dalam malapetaka yang menimpanya, Ayub menuduh Tuhan kejam (Ayub 10:3) bahkan mencabar-Nya ke pengadilan (Ayub 31:35)! Meskipun Ayub kemudian menyedari bahawa pemahamannya terbatas (Ayub 42:3), yang penting ialah Tuhan tidak pernah mencela perasaan-Nya. Walaupun penuh pertanyaan, Elie Wiesel berdoa, “Marilah kita berdamai. Terlalu susah untuk terpisah daripada-Mu begitu lama.” Kita juga mungkin marah kepada Tuhan kerana Dia tidak menghapuskan penderitaan di dunia ini, tetapi luahan kita kepada-Nya boleh menjadi doa yang terselubung—agar kita tetap dekat dengan Tuhan yang menginginkan kita membawa kemarahan kita kepada-Nya, bukan hanya membawa pujian.