Ken mengelak daripada bertemu dengan pekerja-pekerja asing di bangunannya. Tabiat dan cara hidup mereka yang berbeza membuatnya berasa tidak selesa. Namun, pada suatu hari, ketika Ken sedang berdoa, satu suara hati menyentuhnya: Mereka sudah menjadi jiranmu selama bertahun-tahun, tetapi kamu tidak pernah berkongsi Injil dengan mereka. Fikirkanlah sikapmu terhadap mereka.

Firman Tuhan juga menasihati umat-Nya dalam situasi yang serupa: “Perhatikanlah keadaanmu” (Hagai 1:7). Selepas mereka ditawan di Babel, umat-Nya kembali ke Yerusalem untuk membina semula Bait Suci. Tuhan telah “menggerakkan hati Kores, raja Parsi” (Ezra 1:1) untuk memerintahkan pembinaan dan menyediakan dana (ayat 2-4). Tetapi, selepas orang ramai membina asas bangunan, tentangan semakin meningkat (4:1-5), jadi mereka mengabaikan projek itu selama empat belas tahun.

Melalui nabi Hagai, Tuhan berfirman kepada mereka, “Perhatikanlah keadaanmu. … Bait-Ku … terus usang dan terbiar dalam kerosakan, walhal kamu sibuk menguruskan rumah masing-masing” (Hagai 1:7, 9). Tuhan berfirman, “Perhatikanlah keadaanmu. Adakah kamu melakukan apa yang Aku telah perintahkan kepadamu?”

Tuhan mendisiplinkan umat-Nya (ayat 5-11), tetapi apabila mereka menyambung semula pembinaan, Dia pun menguatkan hati mereka, “Aku menyertai kamu… Janganlah takut” (Hagai 2:4-5). Akhirnya, Bait Suci itu siap dalam masa kurang daripada lima tahun.

Keadaan apakah dalam hidup kita yang harus kita perhatikan? Marilah kita memohon Tuhan agar Dia menuntun dan menolong kita untuk mengikut kehendak-Nya.