Selepas sebuah syarikat tidak dapat menghasilkan pen dakwat yang memenuhi syarat-syarat yang spesifik untuk kegunaan beberapa pejabat kerajaan Amerika Syarikat pada tahun 1960-an, pihak Pentadbiran Perkhidmatan Am Amerika Syarikat pun meminta Industri Kebangsaan bagi Orang Buta (IKOB) untuk menghasilkan 70 juta batang pen, walaupun IKOB tidak pernah membuat pen sebelum ini. Mereka menyahut cabaran tersebut dan berjaya memenuhi semua syarat. Sejak tahun 1967, para pekerja kilang yang buta telah memasang alat tulis ini yang digunakan secara meluas oleh kakitangan angkatan tentera. Pen ini bukan sahaja dapat digunakan untuk menulis secara terbalik, tetapi juga dapat menghasilkan garisan dakwat sepanjang 1.6 km, dan tahan suhu yang melampau.

Kejadian 1:27 mengingatkan kita bahawa setiap manusia diciptakan mengikut spesifikasi Tuhan yang sempurna: “Maka Allah menciptakan manusia menurut gambaran-Nya. Menurut gambaran Allah, Dia mencipta mereka, lelaki dan perempuan.” Cara kita diciptakan mencerminkan karakter dan sifat Tuhan. Disebabkan manusia dicipta menurut gambaran Tuhan, setiap orang mempunyai maruah dan nilai yang memang sudah ada dalam dirinya. Tuhan berfirman bahawa kisah setiap individu bermula dengan penciptaan yang “menurut gambaran dan rupa[-Nya]” (ayat 26). Kebenaran ini menjadi asas supaya kita memahami martabat, identiti dan hubungan manusia dengan sesama.

Sebagaimana pen-pen itu memainkan peranan yang penting, begitu juga kita! Walaupun kita mungkin berasa biasa-biasa sahaja atau tidak menonjol, setiap kita mempunyai nilai dan tujuan tersendiri yang telah dibentuk oleh Tuhan. Hari ini, marilah kita menerima kisah hidup kita kerana kita tahu bahawa Pencipta kita menghargai kita dan menyebut kita “sungguh baik” (ayat 31).