Di gelanggang bola keranjang, pasukan cucu kami yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu berusaha sedaya upaya untuk menjaringkan skor. Dengan jelas mereka mahir dalam menyerang. Namun, setiap kali mereka berjaya menjaringkan skor, jurulatih mereka akan menggesa mereka bergegas kembali ke gelanggang sendiri untuk membentuk pasukan bertahan, yang kadang-kadang mereka enggan untuk melakukannya. Semua orang mahu menjaringkan skor, tetapi tiada siapa benar-benar ingin melakukan kerja keras untuk mempertahankan pasukan sendiri.
Kunci kepada permainan itu, seperti yang diajarkan oleh jurulatih mereka, adalah menjangka pergerakan pihak lawan. Jangkaan pantas untuk memintas hantaran atau menghalang percubaan jaringan dapat menggagalkan usaha pasukan lawan untuk menjaringkan skor dan membantu pasukan sendiri memenangi perlawanan.
Strategi pertahanan yang menjangka gerakan musuh juga dapat membantu kehidupan rohani kita. Dan siapakah musuh itu? Surat Petrus kepada orang Kristian zaman awal mengingatkan kita: “Musuhmu Iblis merayau seperti singa yang mengaum mencari mangsa” (1 Petrus 5:8). Oleh itu, Petrus menulis, “Kawallah dirimu dan berwaspadalah.” Sesungguhnya, kita dipanggil untuk melawan musuh rohani kita dengan “iman yang teguh” (ayat 9).
Sebagai orang Kristian, menjalani kehidupan yang aktif melawan musuh rohani kita dapat membantu kita berdiri teguh dalam iman dan berbuah dalam kerajaan-Nya. Maka sekiranya kita mengalami rintangan rohani, Tuhan kita yang merupakan sumber segala kasih kurnia kita “akan menyempurnakan, menegakkan, mengukuhkan dan menenteramkan” kita (ayat 10). Dialah yang meneguhkan kita dan kita dapat membina pertahanan kita yang kukuh di dalam Dia.
