Pada tahun 1962, Joanne Shetler dan Anne Fetzer menempuh perjalanan yang sukar dengan menaiki bas dan berjalan kaki ke kawasan pergunungan berceranggah yang terpencil di Filipina untuk berkongsi Injil dengan orang yang belum pernah mendengar nama Yesus.

Selama lima tahun, mereka menterjemahkan Alkitab ke dalam bahasa penduduk setempat, tetapi penduduk di kampung Balangao tidak menyambut baik Injil. Namun begitu, mereka membantu membina landasan kapal terbang yang sangat sederhana supaya bekalan baharu dapat dihantar melalui udara. Pada suatu hari, sebuah kapal terbang yang digelar “keajaiban dari dunia lain” oleh penduduk kampung mendarat di situ. Juruterbang kemudian menerbangkan seorang wanita kampung yang hamil dan sakit tenat ke sebuah klinik yang jauh. Apabila pesawat itu kembali kemudian dengan wanita yang telah sembuh bersama bayinya yang sihat, penduduk kampung mula bertanya tentang “Tuhan ini” yang telah dikhabarkan kepada mereka. Tidak lama kemudian, kampung itu mempunyai sebuah gereja yang dipenuhi oleh orang yang percaya kepada Kristus.

Setiap kita yang berkongsi kisah tentang Yesus ada kalanya berasa tawar hati apabila pendengar kita seolah-olah tidak mahu mendengar. Rasul Paulus tahu bahawa hal itu boleh berlaku. Selepas membuat penjelasan kepada jemaah di Galatia tentang pentingnya untuk menyemai dan menuai Injil, dia mengakui bahawa seorang penabur mungkin menjadi letih. Oleh itu, dia mencabar mereka supaya tidak “jemu berbuat baik” (Galatia 6:9).

Lima tahun pertama dalam pelayanan Joanne dan Anne pastinya mengecewakan. Namun begitu, mereka terus menabur, dan akhirnya mereka menuai hasilnya. Janganlah kita “berputus asa” (ayat 9). Sesungguhnya, berita keselamatan akan “menuai hidup yang kekal” (ayat 8).