Pada penghujung musim bunga setiap tahun, saya akan menanam benih timun di kebun kami. Benih-benih itu cepat mengeluarkan daun, tetapi mengambil masa untuk melihat buahnya. Sebenarnya, pada suatu musim panas selepas saya menyirami benih-benih itu dan menunggu, saya tertanya-tanya sama ada saya akan mendapat walau sebiji timun pun. Saya berfikir, Adakah ini disebabkan benih dibubuh dengan terlalu rapat, atau tanah belum cukup panas semasa saya menanamnya? Akan tetapi, pada suatu hari saya ternampak satu buah timun kecil yang hijau muncul. Satu minggu berikutnya, muncul lagi satu. Kemudian satu lagi. Dalam beberapa minggu sahaja, pokok yang mulanya hanya menjalar kini menghasilkan cukup buah untuk saya membuat salad selama seminggu.
Pertumbuhan rohani kadang-kadang kelihatan seperti itu. Kita tidak selalu melihat perkara yang kita doakan: kesabaran, penguasaan diri, lemah lembut dan kasih (lihat Galatia 5:22-23). Bagaimanapun, apabila kita meminta Tuhan menolong kita mewujudkan keadaan yang diperlukan untuk pertumbuhan—berdoa, mempelajari firman Tuhan, beribadat, melayani orang lain—Roh Kuduslah yang akan menghasilkan pertumbuhan itu.
Inilah inti ibarat yang disampaikan oleh Yesus dalam Lukas 8: “Seorang penyemai pergi menabur benihnya” (ayat 5). Ada benih yang jatuh di tepi jalan lalu “dimakan burung” (ayat 5). Ada yang jatuh di tempat berbatu, dan setelah bercambah, tumbuhan itu menjadi layu kerana kurangnya air (ayat 6). Ada pula yang jatuh di tengah-tengah semak duri, lalu semak membesar bersama-sama dan membantutkannya (ayat 7). Tetapi ada benih yang jatuh di tanah yang subur lalu bertunas dan “mengeluarkan hasil seratus ganda” (ayat 8).
Dengan pertolongan Tuhan, marilah kita mengusahakan “tanah yang subur” dan bertumbuh dalam Dia.
buah yang baik daripada tanah yang subur.
