Pastinya menarik jika kita dapat melihat jantung sendiri. Baru-baru ini, saya mengalami sakit dada. Jadi saya pergi berjumpa doktor untuk diperiksa. Doktor kemudian membuat beberapa ujian perubatan dan mendapati bahawa terdapat lebihan kalsium terkumpul dalam saluran darah jantung saya yang dikenali sebagai aterosklerosis (penyempitan saluran darah).

Sejak itu saya telah membuat perubahan besar dalam pemakanan dan senaman. Namun saya juga sedar bahawa masalah jantung saya tidak berlaku dalam sekelip mata. Dalam kes saya, ia merupakan hasil daripada pilihan hidup yang tidak sihat sebelum ini. Lama-kelamaan, tabiat-tabiat tersebut telah menjejaskan kesihatan jantung saya.

Alkitab menggunakan bahasa yang serupa untuk menggambarkan keadaan rohani yang tidak sihat. Hati kita boleh beransur-ansur menjadi keras terhadap Tuhan—satu hari dan satu pilihan pada satu masa. Ibrani 3:7-8 (rujuk kepada Mazmur 95:7-8) berkata, “Hari ini, jika kamu mendengar suara-Nya, jangan keraskan hatimu seperti dalam pemberontakan dahulu.” Selepas Tuhan membebaskan umat-Nya dari Mesir, mereka “menguji dan menduga” Dia (ayat 9) semasa berada di gurun.

Tuhan telah setia memelihara umat-Nya, tetapi mereka enggan mengakuinya (ayat 9-10). Bagaimanakah pula dengan kita? Apakah tabiat harian kita yang membuat kita menjauh dari Tuhan, sehingga hati kita menjadi keras terhadap-Nya? Setiap kita pernah membuat pilihan seperti itu. Oleh itu, saya bersyukur pada hari ini, saat ini, Tuhan menawarkan untuk menukar hati kita yang keras dengan hati yang dilembutkan oleh kasih-Nya (lihat Yehezkiel 36:26).