Sarah tanpa sedar telah jatuhkan cincin berlian pertunangannya ke dalam cawan seorang pengemis ketika dia memberikan duit kepadanya. Billy Ray, pengemis yang terima cincin itu, telah membawanya dinilai dan merancang untuk menjualnya. Namun dia memilih untuk bersikap jujur dan memulangkannya kepada Sarah apabila wanita itu kembali beberapa hari kemudian. Sarah dan suaminya mengumpul dana supaya boleh membantu Billy Ray, dan hal itu telah mendorong orang ramai menderma dengan kemurahan hati. Oleh sebab tindakan kasih ini, Billy Ray menerima penasihat kewangan dan perundangan, dan akhirnya dapat membeli sebuah rumah. Dia juga dipertemukan semula dengan keluarganya yang telah lama terpisah.

Apabila kita mengamalkan integriti (bersikap jujur dan benar), kita menyenangkan hati Tuhan dan memberi inspirasi kepada orang lain. Salomo mengatakan bahawa Tuhan berkenan kepada orang yang berintegriti: “Bibir dusta adalah kekejian bagi TUHAN, tetapi orang yang melakukan apa yang benar adalah kesukaan-Nya” (Amsal 12:22). Dia menggunakan bahasa yang tegas untuk menggambarkan pandangan Tuhan terhadap ketidakjujuran—Dia membencinya. Apabila umat Tuhan berdusta atau “tipu daya bersarang dalam hati orang” (ayat 20), hal itu menentang Tuhan dan bertentangan dengan sifat-Nya. Sebaliknya, apabila umat-Nya mempunyai “bibir yang benar” (ayat 19) dan bertindak dengan setia, ia membawa sukacita kepada-Nya. Maka melayani orang lain dengan baik bukan sekadar berkata benar—ia mencerminkan sifat Tuhan sendiri. Di dunia ini, penipuan seolah-olah membawa keuntungan, namun orang yang berintegriti “dikenan-Nya” (ayat 22 TB).

Marilah kita bertekad untuk bertindak dengan integriti dengan pertolongan Tuhan. Walaupun tiada sesiapa yang menyedarinya, Dia berkenan apabila kita berjalan mengikut jalan-Nya.