Sewaktu kecil, saya sangat teruja apabila melihat papan tanda khas di tepi jalan. Saya menyangka papan tanda yang berwarna-warni itu bermakna keluarga saya telah tiba di taman hiburan popular yang kami ingin kunjungi. Saya dengan gembira mula mengemas barang-barang saya, tetapi kecewa apabila melihat lebih banyak papan tanda dan terpaksa menunggu lebih lama sebelum kami sampai ke taman itu. Akhirnya saya sedar papan tanda tersebut menandakan kami semakin hampir, tetapi masih jauh lagi.

Seperti seorang kanak-kanak yang bertanya dengan teruja, “dah sampai?”, kita juga boleh menjadi tidak sabar dan cemas untuk tiba di destinasi seterusnya.

Menunggu Tuhan untuk bertindak atau menyelamatkan kita daripada ujian hidup pasti mencabar. Daud menghadapi banyak penderitaan, seperti yang disebutnya di sepanjang Mazmur 27. Namun dia tetap berharap dan mempercayai Tuhan serta menantikan jawapan-Nya. Daud tidak tahu berapa lama dia harus menunggu sebelum Tuhan bertindak, tetapi dia tahu Tuhan akan menolongnya. “Aku percaya: bahawa aku akan melihat kebaikan TUHAN di tanah orang yang hidup” (ayat 13).

Ia mungkin mengambil masa yang lebih lama daripada yang kita inginkan untuk melihat sebarang hasil, tetapi marilah kita berpegang teguh pada kata-kata ini: “Nantikanlah TUHAN; tabahkan dirimu, teguhkan hatimu” (ayat 14). Apabila kita menyelidiki Mazmur dan seluruh Alkitab untuk mendapatkan dorongan, kita akan diteguhkan dengan mengetahui bahawa Tuhan sedang berkarya biarpun pada waktu kita sedang menunggu.