Dalam sebuah filem komedi lama, seorang pengatur cara komputer yang kekok tetapi bijak, telah dipilih sebagai salah seorang manusia pertama untuk pergi ke planet Marikh. Setiap kali sesuatu yang silap berlaku, dia cepat-cepat berkata, “Bukan saya!”. Apabila seluruh kru itu mendarat di Marikh, dia terjatuh dahulu sebelum rakannya sempat melangkah turun. Jadi secara tidak sengaja, dialah orang pertama yang menjejakkan kaki di Marikh. Namun, seperti kebiasaannya, dia terus berkata, “Bukan saya!”

Walaupun cerita itu lucu, ungkapannya sangat realistik. Setiap kali terdapat sesuatu untuk disalahkan, reaksi seperti, “Bukan saya!” biasa kedengaran.

Tuhan inginkan ketaatan kita. Namun, Dia juga tahu kita cenderung tidak mematuhi-Nya. Dalam Imamat 26:1-13, Tuhan merangka rancangan-Nya untuk Israel. Jika mereka mematuhi perintah-Nya, Dia berkata, “Aku akan mempedulikan kamu dan membuat kamu beranak cucu serta bertambah ramai” (ayat 9). Tetapi umat Israel terus-menerus memberontak terhadap Tuhan, maka mereka akan mengalami kutukan dan penderitaan, yang tujuannya adalah untuk membawa mereka bertaubat. Kemudian Tuhan berkata bahawa jika mereka “mengakui kesalahan dan kesalahan nenek moyang mereka” (ayat 40), Dia akan mengingati perjanjian-Nya dengan mereka.

Kunci untuk memulihkan hubungan dengan Tuhan adalah mengakui dosa kita. Menyalahkan orang lain cuma membuat kita terperangkap dalam kitaran rasa bersalah, dan tidak berdaya untuk mempertahankan diri .

Adakah anda berasa jauh daripada Tuhan? Permulaan yang baik adalah dengan berkata, “Sayalah orang itu.”