Semasa remaja, saya mempunyai hubungan yang agak tegang dengan rakan segereja saya, Lisa, jadi saya kecewa apabila mengetahui bahawa kami akan menjadi rakan sebilik di kem musim panas belia. Namun, minggu di kem itu berjalan dengan lancar, dan hubungan kami berdua amat mesra.
Acara yang paling dinantikan ialah perhimpunan unggun api pada hujung minggu. Namun pada malam itu, saya demam. Saya masuk tidur awal, tetapi saya masih dapat mendengar gelak tawa dan muzik di luar. Sejam kemudian, saya terkejut apabila Lisa sedang mengambil suhu badan saya. “Saya tidak menyertai acara unggun api,” katanya. “Kamu sakit. Saya perlu menemani kamu.” Lisa boleh sahaja tidak mengambil peduli, tetapi dia memilih untuk menjaga saya, dan itu benar-benar menceriakan hati saya.
Kita melihat satu contoh lain akan seseorang yang mengambil berat dalam kisah Naaman. Panglima tentera Syria, Naaman mempunyai seorang hamba perempuan Israel yang telah ditawan dan kini “berkhidmat bagi isteri Naaman” (2 Raja-Raja 5:2). Gadis itu boleh sahaja memilih untuk tidak membantu tuannya yang menghidap penyakit kusta, kerana dia terpisah daripada keluarganya dan dipaksa menjadi hamba. Namun imannya menggerakkan dia untuk membantu: “Dia berkata kepada nyonyanya, ‘Sekiranya tuanku menghadap nabi yang di Samaria itu, maka pasti nabi itu menyembuhkan dia’”(ayat 3). Dan Tuhan benar-benar melakukannya, bahkan, memakai nabi Elisa untuk menyembuhkan Naaman (ayat 8-14).
Lisa dan gadis Israel itu memilih untuk membantu, dan Tuhan bertindak melalui mereka. Marilah kita meminta Tuhan agar menunjukkan siapa yang boleh kita hulurkan kasih-Nya dan memberi kita hikmat bagaimana untuk melakukannya.
Pakailah aku untuk menolong orang lain.
