“Suatu kenikmatan hanya menjadi sempurna apabila ia dikenang.” Kata-kata ini, yang diucapkan oleh seorang watak dalam buku C. S. Lewis yang berjudul Out of the Silent Planet, menggambarkan sukacita yang dialami apabila kita mengenang kembali pengalaman hidup yang berharga. Walaupun kita dapat merasakan sukacita ketika menikmati pemandangan yang indah sewaktu mendaki bukit, atau meraikan suatu peristiwa penting bersama orang yang kita kasihi, apa yang kita rasakan pada waktu tersebut mungkin hanyalah kesenangan awal. Selalunya, apabila kita mengingat kembali saat-saat tersebut (dan yang seumpamanya), sukacita itu menjadi semakin bertambah kerana kita pernah mengalaminya.

Mungkin inilah salah satu sebabnya Yesus memerintahkan para murid-Nya supaya sentiasa mengambil bahagian dalam Perjamuan Tuhan. Ketika Dia makan bersama mereka dalam perjamuan Paskah pada malam sebelum kematian-Nya, Dia memberikan makna baharu kepada perjamuan itu. Apabila mereka mengambil roti tidak beragi dan “buah anggur”, Yesus menyatakan bahawa semua itu melambangkan tubuh-Nya dan darah-Nya (Lukas 22:19-20). Para murid-Nya harus melakukan perjamuan ini secara berkala, “sebagai peringatan kepada-[Nya]” (ayat 19).

Orang Yahudi memperingati bagaimana Tuhan membebaskan mereka dari Mesir melalui perayaan Paskah (rujuk Keluaran 12:17). Mereka yang percaya kepada pengorbanan Yesus mengingat dan memberitakan pembebasan Tuhan daripada akibat dosa melalui Perjamuan Tuhan—suatu peringatan yang penuh kesungguhan, namun juga penuh sukacita. Dengan melakukannya secara tetap, kita mempraktikkan apa ertinya “tinggal” dalam persekutuan dengan Yesus (rujuk Yohanes 6:56) serta menikmati persekutuan kita dengan-Nya.