Daniel dilahirkan di sebuah rumah anak yatim di Romania. Selama tujuh tahun, dia hanya keluar dari katil bayinya untuk ke tandas. Apabila dia berumur lapan tahun, sebuah keluarga dari negara lain mengambilnya sebagai anak angkat. Mereka mengetahui tentang gangguan pertautan yang dihadapi oleh Daniel—bahawa dia mungkin sukar untuk membina hubungan dengan mereka kerana dia tidak pernah mengalami kasih sayang selama ini. Perlahan-lahan, Daniel mula mempercayai mereka. Namun, lama-kelamaan, keberangan Daniel yang hilang kawalan menyebabkan ibu bapanya terpaksa mengupah seorang pengawal keselamatan untuk melindungi mereka daripada letusan emosinya. Akhirnya mereka memilih satu terapi yang dianggap kontroversial: selama lima tahun berikutnya: mereka tidak pernah berjauhan daripadanya walaupun ketika dia mengamuk. Pada hari ulang tahunnya yang ketiga belas, Daniel menangis teresak-esak dan, buat pertama kali berkata kepada ibu bapa angkatnya bahawa dia sangat mengasihi mereka. Ibunya merumuskan pengalaman itu: “Kasih bukan sesuatu yang boleh dicapai hanya dengan kelembutan dan sentimental; ia adalah satu perjuangan sebenar yang memerlukan pengorbanan.”

Setiap kita dilahirkan dengan rasa kehilangan atau kekosongan. Seperti Daniel, kita mempunyai gangguan pertautan rohani. Namun, Tuhan “begitu mengasihi dunia” sehingga Dia mengambil tindakan yang luar biasa—“menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal” (Yohanes 3:16), turun ke medan pertempuran dunia melalui Yesus yang menjadi manusia. “Cahaya sudah datang ke dunia” (ayat 19).

Tuhan mengambil langkah yang luar biasa untuk menunjukkan kasih-Nya yang besar kepada dunia, dan anda. Hati Bapa yang penuh kasih dan setia rindu untuk mendengar kita membuat pengakuan kasih kepada-Nya, seperti kata-kata yang akhirnya didengar oleh ibu bapa Daniel: “Aku sangat mengasihi-Mu.”