Ketika Vic dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, dia berkongsi dengan rakan-rakannya tentang kerinduannya. Apabila mereka berkata bahawa Yesus dapat mengisi kekosongan dalam hidupnya, dia mengejek penyataan itu. Bagi Vic, Yesus—yang telah mati tetapi masih hidup—tidak masuk akal. Namun, walaupun ragu-ragu, beberapa lama kemudian dia mula mendengar siaran radio Kristian dan membaca Alkitab. Akhirnya, dia meminta Tuhan menyatakan diri-Nya kepadanya.

Kebimbangan dan ketakutan Vic mula lenyap. Dia merenungkan, “Secara fizikal, saya dikurung di dalam penjara dengan dua pagar besi seperti sangkar, tetapi secara mental saya bebas dan dilindungi—seperti Daniel ketika dia berada di dalam gua singa.” Tidak lama kemudian, Vic menerima Yesus sebagai Penyelamatnya.

Vic membaca kisah Perjanjian Lama tentang Daniel, seorang yang merupakan buangan dari Yehuda yang dihumban ke dalam gua singa. Daniel enggan berhenti berdoa kepada Tuhan tiga kali sehari, walaupun raja telah menandatangani titah yang melarang semua doa selama tiga puluh hari kecuali doa kepada dirinya sendiri (Daniel 6:6-10). Raja itu “berasa sangat susah” dan menyesal kerana terpaksa menjatuhi Daniel hukuman mati (ayat 14, 16). Tetapi Tuhan menunjukkan kuasa dan kedaulatan-Nya dengan melindungi Daniel, sehingga “raja menjadi sangat gembira” (ayat 23).

Apa pun keadaan kita, termasuk kesusahan yang besar, Tuhan tidak akan meninggalkan kita. Kita hanya perlu berpaling kepada-Nya.