Satu kajian saintifik—yang bertujuan meninjau sejauh mana kepekaan seseorang terhadap muzik bersifat budaya dan sejauh mana ia bersifat naluri—memainkan rentak gendang untuk bayi yang baru lahir sambil memantau aktiviti gelombang otak mereka. Sesekali, para penyelidik akan melangkau satu rentak daripada irama. Yang mengagumkan, mereka mendapati gelombang otak bayi melonjak dengan mendadak ketika not itu sengaja ditinggalkan—menunjukkan minda muda mereka sudah menjangka rentak itu dan bertindak balas terhadap ketiadaannya.

Kajian ini mengingatkan kita betapa ajaibnya Tuhan mencipta kita. Dia juga telah menjadikan kita untuk menerima anugerah muzik yang indah dan memberi respons dengan sukacita, seperti ditulis oleh pemazmur Daud dalam Mazmur 30 untuk menyambut kasih kurnia Tuhan dengan muzik kita sendiri—nyanyian “puji-pujian kepada TUHAN … dan bersyukurlah mengingati nama-Nya yang suci” (ayat 4).

Namun, kesakitan, keletihan, penyesalan, atau kesedihan kadangkala membuat kita bersusah hati dan mengancam untuk melenyapkan nyanyian pujian kita. Apabila putus asa, malah takut mati, Daud berseru kepada Tuhan untuk menyelamatkannya,: “Apakah gunanya jika darahku tertumpah, dan aku masuk ke kubur? Adakah debu akan memuji-Mu?” (ayat 9).

Daud mengalami kesetiaan Tuhan ketika sukacitanya dipulihkan, apabila Tuhan mengubah “kesedihannya menjadi tarian riang” dan “meliputi[nya] dengan keriaan” (ayat 11). Ketika Tuhan menyembuhkan hati kita dan memenuhinya dengan irama sukacita yang kita dilahirkan untuk menari, kita juga boleh bersaksi: “Ya TUHAN, ya Allahku, aku akan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya” (ayat 12).