Hari sudah pagi, jadi suami saya membuka telefonnya untuk memilih lagu Injil kegemarannya, “My Soul Is Anchored” (Bersauh pada Tuhan). Lirik lagu ini meluahkan harapan kepada Tuhan ketika menghadapi pergolakan. Ia juga memberi amaran tentang gulungan ombak besar dan hempasan gelombang. Namun, kita tidak akan goyah, kata lagu itu, kerana Tuhan mendakap kita dengan erat.
Kata-kata itu secara tepat menggambarkan fungsi sauh kepada kapal. Sebuah sauh menegapkan kapal dengan menenggelamkan “lengannya” ke dasar laut untuk menghalang kapal daripada hanyut atau terumbang-ambing semasa ribut kencang.
Sauh telah menjadi simbol klasik tentang iman Kristian—mencerminkan harapan kita kepada Kristus, tempat kita bersauh walaupun dalam kacau-bilau kehidupan. Seperti yang ditulis dalam kitab Ibrani, “Kita mempunyai harapan ini sebagai sauh kepada jiwa kita, tetap dan teguh” (Ibrani 6:19). Harapan ini ialah Yesus, yang “tidak mungkin berubah” (ayat 17) sebagai pegangan teguh bagi mereka yang percaya kepada-Nya. Lebih-lebih lagi, janji Tuhan telah disahkan dengan sumpah, dan adanya “dua perkara yang tidak mungkin berubah … Allah tidak mungkin berdusta” (ayat 17-18). Itulah sebabnya kita yang berpegang pada janji-janji-Nya, “sangat digalakkan” (ayat 18 TMV).
Kadang-kadang, sesetengah orang bersauh pada perkara yang tidak boleh dipercayai—cita-cita, rakan-rakan yang tidak baik, atau tabiat negatif sendiri. Alangkah lebih baik jika bersauh pada seseorang yang boleh dipercayai dan andalkan. Apabila ombak menghempas di sekeliling kita, kita akan didakap dengan erat. Jiwa kita bersauh pada Tuhan.
