Menurut kajian, generasi Z (kumpulan orang yang lahir lebih kurang antara tahun 1997-2012) mampu mengesan pujian palsu dari jauh. Walaupun niatnya mungkin baik, generasi ini menghargai sesuatu yang lebih mendalam: rasa hormat dan kejujuran yang tulen. Mereka tidak mahu pujian kosong, sebaliknya mahu dipercayai. Apabila pandangan yang jujur disampaikan, mereka berasa dihormati, dipandang serius, dan dicabar untuk bertumbuh. Sebenarnya, perkara ini juga benar bagi kebanyakan kita.
Mazmur 141:5 menyatakan hikmat ini. Daud menulis: “Biarlah orang yang benar memukulku—itu suatu kebaikan kepadaku; biarlah dia memarahiku—itu seperti minyak yang unggul.” Dalam doanya kepada Tuhan, Daud memohon supaya dia dapat menerima teguran yang penuh kasih daripada sahabat sebagai satu kebaikan (ayat 5; rujuk juga Amsal 27:6). Daud menyedari bahawa kasih yang sejati tidak mengelakkan perbualan yang sukar. Kasih sejati menyampaikan kebenaran, bukan untuk memalukan, tetapi untuk menolong seseorang semakin dekat kepada Tuhan dan “Jangan cenderungkan hati[nya] ke arah kejahatan” (Mazmur 141:4). Petikan ini mengingatkan kita bahawa maklum balas yang bijak dan jujur bukan untuk menjatuhkan orang lain, tetapi untuk membina mereka.
Janganlah kita takut untuk menerima teguran daripada sumber yang betul, dan tidak takut untuk memberikannya. Kita tidak memerlukan kata-kata manis semata-mata. Kita memerlukan orang yang sanggup bercakap benar dalam kasih. Kadang-kadang, kata-kata yang paling menyakitkan itulah yang membina kita, menyembuhkan kita, dan menolong kita menjadi orang seperti yang dikehendaki Tuhan.
ILHAM
Kitab Suci banyak berbicara tentang kuasa kata-kata kita. Salah satu petikan Perjanjian Baru yang terkenal ialah Yakobus 3:1-12. Menurut Yakobus, mengawal lidah merupakan sesuatu yang sukar. Namun, sebelum kita berputus asa untuk menuturkan kata-kata yang baik kepada sesama, perhatikanlah apa yang dikatakan oleh Daud dalam Mazmur 141.
Di tengah-tengah permohonannya yang lain, pemazmur memohon kepada Tuhan supaya “awasilah pintu bibirku” (ayat 3). Dia ingin menjalani kehidupan yang berbeza daripada orang jahat di sekelilingnya (ayat 4), iaitu kehidupan yang sanggup menerima kata-kata kebenaran daripada orang lain. Dia berkata, “Biarlah orang yang benar memukulku—itu suatu kebaikan kepadaku; biarlah dia memarahiku—itu seperti minyak yang unggul. Janganlah biarkan kepalaku menolaknya” (ayat 5). Pada hari ini, Tuhan juga menolong kita menggunakan kata-kata kita untuk membawa kebaikan, kebenaran dan penyembuhan kepada orang lain.
