“Kamu perlu berhati-hati dengan ular, serangga, jaguar, dan segala-galanya,” kata ahli arkeologi Ivan Šprajc. Dengan gergaji rantai dan parang, dia serta pasukannya menebas hutan tebal untuk cuba sampai ke bandar Ocumtún yang sudah lama hilang. Kota purba itu lenyap bersama tamadun Mayan di Semenanjung Yucatán, Mexico, dan tiada siapa tahu mengapa.
“Kajian sejarah kebanyakannya merupakan kajian tentang reruntuhan,” kata penulis George Will—bukti yang menunjukkan bahawa manusia tidak mungkin dapat mencipta sesuatu yang abadi.
Dalam Alkitab, kita membaca nubuat tentang sebuah kota yang makmur, Tirus. Tuhan berfirman melalui nabi Yehezkiel: “Mereka akan memusnahkan tembok-tembok Tirus dan meruntuhkan menara-menaranya” (26:4), dan “Dia akan menjadi tempat membentangkan jaring di tengah laut” (ayat 5). Tirus pernah “berkuasa di laut” yang menimbulkan “ketakutan pada penduduk di daratan” (ayat 17, TB), malah mereka juga meraikan kejatuhan Yerusalem (ayat 2). Seterusnya ada nubuatan tentang kemusnahan Tirus: “TUHAN alam semesta, telah merancangkannya, supaya ternista keangkuhan semua yang indah, supaya terhina semua yang mulia di bumi” (Yesaya 23:9). Tirus jatuh kerana keangkuhannya.
Bekerja keras untuk mencipta perkara-perkara baharu merupakan salah satu cara kita mencerminkan imej Tuhan. Tetapi kita mesti berhati-hati agar tidak terperangkap dalam keangkuhan. Apa sahaja yang kita lakukan, lakukanlah untuk Tuhan kita yang abadi dan dalam kuasa-Nya. Dia menjanjikan “sebuah kerajaan yang tidak dapat digoncang” (Ibrani 12:28).
apabila menyedari bahawa suatu hari nanti ia mungkin tidak lagi wujud?
ILHAM
Nabi Yehezkiel menyampaikan penghakiman bukan sahaja terhadap Yerusalem, tetapi juga terhadap bangsa-bangsa yang meraikan kejatuhan umat Tuhan. Fasal 25-32 mengandungi nubuatan terhadap tujuh bangsa, termasuk Tirus (26:1-28:19). Penghakiman itu akan berlaku secara menyeluruh; misalnya, Mesir akan turun “ke bahagian bumi yang terbawah … ke liang kubur” (32:18), yang merujuk kepada tempat orang mati. Tirus pula, yang merupakan kuasa tentera laut yang terkemuka pada zaman itu (26:17), akan lenyap di bawah “samudera” dan turut turun “ke liang kubur” (ayat 19-20). Keangkuhan akhirnya membawa kepada kejatuhan. Sebaliknya, melayani Tuhan akhirnya mendatangkan damai sejahtera (28:26). Pada hari ini, Tuhan juga menolong kita melayani-Nya dengan kekuatan yang diberikan-Nya.
