Steven mendapati dirinya terperangkap di tengah-tengah konflik antara dua ketuanya yang sedang berebut kuasa di tempat kerja. Oleh sebab terlalu tertekan dan terbeban, dia datang kepada Tuhan dalam doa setiap hari. Melalui doa itu, dia menerima kekuatan dan penghiburan daripada Tuhan. Beberapa bulan kemudian, apabila keadaan mula bertambah baik, dia menyedari bahawa pengalaman itu telah membuatkan hubungannya dengan Tuhan menjadi jauh lebih rapat. “Memang pelik untuk saya katakan, tetapi saya hampir berharap ujian itu berlanjutan sedikit lagi, kerana pada waktu itulah saya sangat bergantung pada Tuhan,” katanya kepada saya.

Dalam Mazmur 119, pemazmur menceritakan pengalaman yang serupa. Apabila dia meminta Tuhan untuk “ memperlakukan [dia] dengan baik” (ayat 65), dia tidak meminta berkat kebendaan atau supaya Tuhan segera membebaskannya daripada kesusahan. Sebaliknya, dia menyatakan bahawa penderitaan telah mendorongnya untuk mencari dan mentaati jalan Tuhan: “Kesusahan yang menimpaku baik bagiku kerananya aku mempelajari ketetapan-Mu” (ayat 71). Menghadapi pelbagai ujian mengajarnya untuk menghargai nilai dan hikmat hidup menurut jalan Tuhan (ayat 66-67), yang membantunya memberi respons yang menyenangkan Tuhan, bukannya bertindak dengan cara yang jahat (ayat 69-70).

Walaupun penderitaan itu tidak menyenangkan, ia boleh mendorong kita mencari Tuhan dengan lebih sungguh-sungguh. Apabila kita membawa masalah dan persoalan kita kepada-Nya, kita akan semakin memahami siapa Tuhan dan cara Dia bekerja. Apabila Tuhan memberi kita kekuatan untuk bertahan dalam penderitaan, kita belajar untuk semakin mempercayai-Nya. Kita mungkin tidak mengalu-alukan ujian, tetapi marilah kita kuatkan semangat untuk terus berharap, kerana Tuhan boleh menggunakan ujian itu untuk memupuk dan menguatkan iman kita.