Perjalanan itu berbahaya, namun seorang pemuda Afrika tetap nekad merentasi wilayah musuh demi menuju ke sebuah hospital kendalian mubaligh Kristian. Apabila dia akhirnya tiba di hospital itu, kakitangan menyangka dia datang untuk mendapatkan bantuan perubatan, tetapi dia datang semata-mata untuk mendapatkan sebuah rakaman audio Alkitab.

Beberapa bulan sebelumnya, saudara lelakinya telah menerima sebuah rakam audio firman Tuhan. Rakaman itu menjadi begitu popular sehingga lebih daripada seratus orang berkumpul tiga malam setiap minggu untuk mendengarnya. Tetapi rakaman audio itu tidak cukup kuat untuk didengari oleh semua orang yang hadir. Jadi, lelaki itu sanggup mempertaruhkan nyawanya untuk mendapatkan sebuah lagi rakaman audio firman Tuhan. Dengan versi audio kedua, fikirnya, orang-orang di belakang pun dapat mendengar firman Tuhan dengan jelas!

Keinginan orang-orang yang dahaga secara rohani untuk mendengar Kitab Suci dibacakan mengingatkan kita kepada sebuah kisah dalam kitab Nehemia. Dalam kisah itu, Ezra membacakan kitab Taurat Musa kepada orang ramai yang berkumpul (Nehemia 8:3). Dari subuh hingga tengah hari, dia membacanya sementara orang ramai berdiri untuk mendengar, namun tindakan ini menyebabkan mereka menangis kerana sedih akan dosa mereka sendiri. Pada hari pembacaan Kitab Suci Taurat yang begitu penting, Nehemia berkata, “Hari ini suci bagi TUHAN, Allahmu. Janganlah berdukacita atau menangis” (ayat 9). Kemudian dia menyuruh orang ramai meraikannya, ”Pergilah, makanlah yang sedap-sedap dan minumlah yang manis-manis” (ayat 10), katanya.

Pembacaan Kitab Suci adalah satu sebab untuk bersukacita—baik pada zaman Nehemia mahupun pada zaman kita sekarang. Tuhan menggunakan firman-Nya untuk memperbaharui dan menumbuhkan kerohanian kita.