Hati saya terasa gembira apabila membaca mesej daripada anak remaja saya. “Mama, saya sayang mama,” bunyi mesej pertamanya. Kemudian datang mesej kedua, “Tadi saya sangat haus. Jadi saya tengok di bahagian bawah kotak makan tengah hari. Rupanya mama ada sediakan satu minuman soda. Terima kasih.” Seorang remaja yang sangat dahaga dan sebotol soda yang diberikan sekali sekala boleh menghasilkan luahan kasih sayang.

Pemazmur menggunakan gambaran seekor rusa yang merindui “air sungai” untuk menggambarkan “kehausan” jiwanya yang merindui Tuhan (Mazmur 42:1). Apabila kita mencari Penyelamat kita dan kasih-Nya, Yesus adalah satu-satunya orang yang boleh memenuhi apa yang benar-benar kita perlukan. Dialah yang memuaskan jiwa kita serta dahaga rohani kita. Seperti yang dikatakan oleh Kristus, “Sesiapa minum air yang Kuberikan kepadanya nanti tidak akan lagi dahaga selama-lamanya. Air yang akan Kuberikan itu akan menjadi mata air dalam dirinya dan memberinya hidup yang kekal” (Yohanes 4:14). Apabila kita “berharap kepada Tuhan”, kita sekali lagi boleh memberi respons kepada Tuhan “dengan sorak-sorai kegembiraan dan puji-pujian “ (Mazmur 42:4-5). Dia “melimpahkan kasih-Nya” kepada kita kerana sifat-Nya yang berbelas kasihan-Nya(ayat 8), dan janji-janji-Nya mengingatkan kita bahawa Dia akan sentiasa bersama kita, satu-satunya yang perkasa dan boleh menyelamatkan kita (ayat 11; lihat juga Yohanes 3:16-17).

Apabila kita bagaikan rusa yang merindui air, atau apabila kita merindukan kepuasan dan makna hidup, kita dapat menemukannya dalam Tuhan. Dia menyediakan “air hidup” yang hanya dapat memenuhi keperluan kita yang paling mendalam. Apabila jiwa kita kering dan dahaga, mari kita datang kepada Yesus, kerana hanya Dialah yang boleh menghilangkan kehausan rohani kita melalui kasih-Nya.