Walaupun Yesus telah membebaskan anak saya, Geoff yang bertahun-tahun menyalahgunakan dadah, saya masih ada kebimbangan. Kami telah mengharungi banyak kesengsaraan bersama dan kadangkala saya masih tertumpu pada sejarah pahitnya, bukan masa depan yang dirancangkan Tuhan untuknya. Ibu bapa penagih sering bimbang tentang tabiat lama anak mereka akan berulang lagi. Oleh itu, pada suatu hari dalam pertemuan keluarga, saya menarik Geoff ke sebelah. “Ingatlah,” saya memberitahunya, “kita ada musuh, dan dia sangat kuat.” “Saya tahu, ayah,” jawabnya. “Dia sangat kuat, tetapi dia tidak ada kekuasaan.”

Pada saat itulah, saya diingatkan tentang kekuasaan Yesus yang tiada tandingan untuk menyelamatkan kita daripada dosa-dosa kita dan mengubah hidup kita, apabila kita mengarahkan tumpuan kita kepada-Nya. Saya terus terfikirkan kata-kata Yesus kepada para murid-Nya sejurus sebelum Dia kembali kepada Bapa-Nya di syurga: “Segala kekuasaan telah diserahkan kepada-Ku, baik di syurga mahupun di bumi. Oleh itu pergilah …” (Matius 28:18-19).

Yesus yang disalibkan dan bangkit semula telah merintis jalan untuk kita datang kepada-Nya tidak kira apa-apa pun masa lalu kita. Dia berkuasa atas masa lalu dan masa depan kita. Oleh sebab Dia telah berjanji untuk sentiasa bersama kita (ayat 20), kita boleh yakin bahawa Dia akan menyempurnakan rancangan-Nya dan hidup kita terletak dalam tangan-Nya yang tidak pernah goyah. Yesus memberi kita harapan yang tiada taranya, satu harapan sebegitu baik yang harus kita kongsi dengan orang lain. Iblis dan dunia ini mungkin mempunyai sedikit kuasa untuk sementara waktu, tetapi “segala kekuasaan” milik Yesus selama-lamanya.