“Si Raksasa” dalam sebuah novel bertajuk Frankenstein, iaitu karya Mary Shelley, ialah salah satu watak sastera yang paling dikenali ramai lagi mengagumkan imaginasi budaya kita. Akan tetapi, pembaca yang meneliti novel yang disukai ramai ini yakin bahawa Shelley sesungguhnya menggambarkan Victor Frankenstein, saintis berdelusi yang mencipta makhluk itu, sebagai raksasa sebenar. Selepas mencipta makhluk yang pintar, Victor dengan sengaja tidak memberinya sebarang bimbingan, teman, atau harapan untuk menjadi bahagia. Tidak hairanlah makhluk itu hilang akal dan mengamuk. Semasa berhadapan dengan Victor, makhluk itu mengeluh, “Engkau, penciptaku, aku ini akan kau musnahkan dan senanglah hati kau.”

Namun Alkitab memperlihatkan betapa bezanya Pencipta sebenar. Dengan kasih-Nya yang tidak berubah-ubah dan tidak mengenal lelah untuk ciptaan-Nya, Tuhan menciptakan dunia yang indah dan “sungguh baik” (Kejadian 1:31). Sekalipun manusia berpaling daripada-Nya bahkan memilih kejahatan yang mengerikan, komitmen dan kasih Tuhan kepada manusia tidak berubah.

Seperti yang dijelaskan oleh Yesus kepada Nikodemus, Tuhan begitu mengasihi ciptaan-Nya sehingga Dia sanggup memberikan apa yang paling dikasihi-Nya, iaitu “Anak-Nya yang tunggal” (Yohanes 3:16) agar dunia dapat diselamatkan. Yesus mengorbankan diri-Nya dengan menanggung akibat dosa kita, supaya “semua yang percaya kepada-Nya mendapat hidup yang kekal” (ayat 15).

Kita boleh mempercayakan seluruh jiwa dan hidup kita kepada Pencipta kita.