Setiap tahun, keluarga saya akan mereka bentuk sebuah kalendar dinding bergantung yang khas, tetapi nampaknya kalendar itu semakin padat kebelakangan ini. Kami akan menghias setiap bulan dengan gambar-gambar kegemaran dari tahun lepas dan menandakan tarikh-tarikh penting. Apabila ahli keluarga kami berkahwin atau menyambut kelahiran anak, kami harus memuat masuk lebih banyak gambar untuk memastikan setiap ahli keluarga dimasukkan dalam kalendar itu. Kini ada beberapa ahli keluarga mempunyai hari jadi yang sama, dan ada hari percutian yang bertindih dengan ulang tahun perkahwinan. Namun kami tidak mengeluarkan item-item dari kalendar untuk memberi lebih ruang, sebaliknya ahli-ahli keluarga baru membuat kalendar di rumah saya lebih berharga.
Dalam kerajaan Tuhan, penyertaan anggota baru sentiasa merupakan satu berkat. Alkitab menyatakan bahawa “Allah meletakkan mereka yang sebatang kara dalam lingkungan keluarga” (Mazmur 68:6). Kasih dan perlindungan-Nya disampaikan dalam konteks kekeluargaan kerana Dia ialah “bapa kepada anak yatim” dan “pelindung kepada balu” (ayat 5). Hati-Nya sentiasa terbuka kepada mereka yang terpinggir, berasa malu, atau yang dituduh, dan dengan itu “Dia melepaskan mereka yang terikat dan memberi mereka kemakmuran” (ayat 6).
Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, kita telah diterima sebagai anak ke dalam keluarga Tuhan (Galatia 4:5), dan Tuhan juga meminta kita menjemput orang untuk menjadi anggota keluarga-Nya (2 Korintus 5:20). Seperti kalendar keluarga saya, semakin ramai yang menerima jemputan ke dalam keluarga Tuhan, semakin indah jadinya. Kita tidak perlu risau akan kehabisan sumber—kerajaan Tuhan cukup luas untuk semua, dan Dia bersukacita untuk menerima setiap anggota baru.