Berita itu sungguh mengerikan. Seorang pembantu rumah asing yang tinggal bersama majikannya telah didera dengan teruk sehingga dia meninggal dunia. Akhirnya, majikan itu dipenjarakan, tetapi saya rasa itu belum memuaskan. Mereka sepatutnya mengalami kengerian penderitaan yang sama, seperti yang dilakukan mereka terhadap gadis malang itu, lalu dihukum mati, saya rasa. Kemudian saya berfikir, adakah kemarahan saya telah melampaui batas. Salahkah saya memikirkan sedemikian?
Mazmur 109 memberikan saya gambaran tentang rasa keadilan kita yang semula jadi. Daud juga bergelut dengan kemarahan terhadap mereka yang menganiaya orang lemah dan tidak berdaya. “Biarlah umurnya pendek … Biarlah anak-anaknya menjadi anak yatim dan isterinya menjadi balu,” dia meluahkan (ayat 8-9).
Tetapi Raja Daud tidak membalas dendam terhadap orang-orang ini—walaupun dia mempunyai kuasa untuk melakukannya. Sebaliknya, dia memohon pertolongan dan keadilan daripada Tuhan sebagai sumber keadilan dan pembebasan yang sejati. “Biarlah ini menjadi balasan Tuhan kepada mereka yang mendakwaku, dan kepada mereka yang menuturkan kejahatan tentangku,” katanya. “Selamatkanlah aku demi kasih-Mu” (ayat 20, 26).
Saya yakin bahawa Tuhan meletakkan dalam hati manusia naluri keadilan, kerana Dia sendiri memiliki sifat yang demikian, dan kita boleh meluahkan perasaan kita dengan jujur. Namun, pada akhirnya, kita menyerahkan penghakiman dan hukuman kepada-Nya—percaya bahawa Dia akan menegakkan keadilan pada masa yang sesuai. Rasul Paulus menyatakan hal ini dengan jelas: “Janganlah berusaha membalas dendam, serahkanlah kepada kemurkaan Allah” (Roma 12:19).