Dalam bukunya, Man of Honor, Ray Pritchard berkongsi sebuah cerita semasa berjalan-jalan di sebuah tanah perkuburan, yang dia menemui batu nisan seorang lelaki dengan penghormatan yang panjang lebar. Namun, dia kemudian melihat tulisan yang lebih menarik perhatian pada batu nisan anak lelaki itu: “Dia seorang yang mempunyai integriti tanpa diragui.” Seperti yang ditulis oleh Pritchard: “Lima patah perkataan untuk merangkumkan seluruh kehidupan. Lebih enam puluh tahun hidup lelaki ini diringkaskan dalam lima perkataan. Tetapi, betapa benarnya kata-kata itu.”

Dalam Mazmur 15:1, pemazmur mengajukan soalan ini: “Ya TUHAN, siapakah yang boleh tinggal di khemah suci-Mu? Siapakah yang boleh duduk di bukit suci-Mu?” Jawapannya adalah orang yang berintegriti dan kita dapat tahu dalam perkataan hidup tulus (atau tanpa cela) seperti yang dijelaskan dalam ayat 2: “Orang yang hidup tulus dan mengamalkan kebenaran serta berkata benar dalam hatinya.” Gabungan soalan (ayat 1) dan jawapan (ayat 2) ini merujuk kepada interaksi di antara Tuhan dan manusia. Selebihnya dalam mazmur ini menghuraikan—secara positif dan negatif—bagaimana kehidupan yang menghormati Tuhan itu sepatutnya kelihatan.

Jika kita hidup erat dengan Tuhan, hidup kita akan menunjukkan sifat kita yang berintegriti, terutamanya dalam cara kita melayani orang lain dengan bantuan Roh Kudus (rujuk Matius 22:34-40; 1 Yohanes 3:16-18). Inilah cara hidup yang kita patut tonjolkan apabila kita percaya kepada Yesus dan mengikut-Nya—Dia yang hidup dalam hubungan yang sempurna dengan Bapa-Nya.