Saya ada banyak masa lapang, jadi saya merancang untuk membantu orang lain sebanyak yang boleh. Namun, semasa membantu seorang rakan baru, saya terjatuh dan tangan saya patah di tiga bahagian. Tiba-tiba, sayalah yang memerlukan pertolongan. Saudara dan saudari seiman datang melawat saya, ada yang beri kad hadiah, bunga, menelefon saya, hantar mesej, berdoa, beri makanan (malah sekotak coklat), dan membantu saya melaksanakan beberapa urusan harian. Saya benar-benar terharu dengan kebaikan keluarga, rakan-rakan, dan ahli gereja saya! Seolah-olah Tuhan berkata, “Duduklah. Kamu yang perlukan bantuan. Kamu akan mengalami apa itu kepedulian dan penjagaan yang sejati.” Melalui mereka, saya telah belajar lebih banyak tentang melayani orang dengan hati yang ikhlas, dan saya bersyukur kepada Tuhan kerana kasih orang lain terhadap saya.
Rakan-rakan seiman membantu saya dengan semangat seperti ajaran Paulus kepada ahli jemaah di Rom (Roma 12). Dia menggalakkan mereka dalam pelbagai cara, termasuklah mengasihi dengan tulus, setia dalam kasih, menghormati sesama, dan berkongsi dengan yang memerlukan (ayat 9-13). Sepanjang suratnya, Paulus mengajar tentang doktrin, tetapi dia juga menunjukkan bahawa hidup dalam Kristus bukanlah teologi yang abstrak, ini dapat ditunjukkan melalui cara hidup kita setiap hari (fasal 12–16). Sifat Tuhan adalah kasih. Sesungguhnya, menerima dan mencurahkan kasih-Nya kepada orang lain adalah salah satu cara kita menunjukkan kasih-Nya kepada kita.
Ketika kita mencari dan mengambil peluang untuk melayani orang-orang di gereja atau komuniti kita setiap hari, mereka akan dikuatkan, kita akan diberkati, dan Tuhan akan dipermuliakan.