Dalam filem klasik Citizen Kane, watak utama Charles Foster Kane mengumpulkan kekayaan dan kuasa dengan membina empayar akhbar. Kehidupannya penuh dengan kenikmatan, malah dia membina sebuah istana besar yang lengkap dengan taman dan khazanah seni. Hidupnya yang mewah mengingatkan kita kepada Pengkhutbah 2:4-11.
Seperti kebanyakan orang kaya, Kane sebenarnya mahukan pujian dan pengiktirafan. Dia membiayai kerjaya politiknya sendiri dan apabila dia gagal, dia menyalahkan ada “penipuan” dalam undian untuk menutup malu. Dia membina sebuah panggung opera untuk isterinya dan memaksa dia menyanyi walaupun tiada bakat, hanya supaya dia kelihatan hebat. Kisah Kane ini juga mencerminkan Pengkhutbah yang mengatakan bahawa kekayaan boleh membinasakan mereka yang mengejarnya (5:10-15), dan membuat mereka hidup dalam “kegelapan dan penuh dukacita” (5:17). Namun akhir hidup Kane sangat menyedihkan—dia tinggal seorang diri di istananya, terasing dan penuh kemarahan.
Filem Citizen Kane diakhiri dengan pendedahan bahawa segala usaha Kane hanyalah untuk mengisi kekosongan dalam hatinya—kekurangan kasih sayang ibu bapa sewaktu kecil. Penulis Kitab Pengkhutbah pasti bersetuju dengan fakta ini. Tuhan telah “meletakkan keabadian dalam hati mereka” (Pengkhutbah 3:11), dan kita hanya dapat betul-betul menikmati hidup bersama Dia (2:25). Kisah Kane memberi peringatan kepada setiap kita: Jangan cari kepuasan rohani melalui kekayaan dan kuasa, tetapi melalui Dia yang mencurahkan kasih-Nya ke dalam hati kita melalui Roh Kudus (Roma 5:5).