Pemain quarterback bola sepak Amerika, C. J. Stroud adalah muda, berbakat, dan berani mengaku bahawa dia seorang yang percaya kepada Yesus. Dalam dunia sukan, purata kerjaya hanya berlangsung selama 3.3 tahun. Namun Stroud secara terbuka berkata apa yang menjadi dasar kepercayaannya. “Bola sepak penuh dengan pelbagai cabaran dan perubahan. Tapi, pada akhirnya, yang terpenting ialah asas hidup. Bagi saya, asas itu ialah kepercayaan saya kepada Tuhan.”
Bola sepak atau profesion yang lain, bukanlah satu-satunya bidang kehidupan yang mengalami pasang surut dan cabaran. Dalam Matius 7:24-27, Yesus menceritakan dua buah rumah yang dilanda hujan, banjir dan angin kencang. Namun, hanya satu rumah yang tetap kukuh: “kerana berasaskan batu” (ayat 25)—metafora bagi ajaran Kristus (ayat 24, 26).
Cabaran hidup umpama badai memang berlaku dalam hidup ini. Penyakit, pelbagai masalah dan kesusahan yang terkira banyaknya membuat kita rasa tak tentu arah. Hidup ini bukannya “kalis badai,” tetapi jika kita menjadikan Yesus dan ajaran-Nya sebagai “asas” (Rujuk 1 Korintus 3:11) kehidupan kita, itulah bezanya. Mereka yang menolak Yesus lebih mudah terjatuh apabila badai hidup menimpa. Namun, mereka yang mendengar dan menurut ajaran-Nya akan tetap teguh: “Hujan mencurah, banjir melimpah dan angin kencang melanda, tetapi rumah itu tidak runtuh kerana berasaskan batu” (Matius 7:25). Sesungguhnya, yang penting ialah asas hidup kita.