Tidak lama selepas bapanya tiba-tiba meninggal dua, Aaron menghadiahi ibunya sebuah gambar bersaiz poster yang berbingkai, gambar yang memaparkan puluhan barang tentang kehidupan ayah mereka—koleksi, gambar, batu, buku, karya seni dan banyak lagi—setiap satunya mempunyai makna yang istimewa. Aaron mengambil masa beberapa hari untuk mengumpul dan menyusun semua barang tersebut. Adik perempuannya, Rachel pula mengambil gambar mengikut susunan, lalu dijadikan hadiah. Hadiah itu merupakan kenangan bergambar sebagai penghormatan kepada bapa mereka. Walaupun bapa mereka bergelut selama berpuluh-puluh tahun dengan masalah kebencian terhadap diri sendiri dan ketagihan, dia tetap menyayangi anak-anaknya. Gambar itu juga membuktikan kasih Tuhan dan kuasa penyembuhan-Nya yang ajaib. Ini kerana dalam 10 tahun terakhir hidupnya, bapa mereka berjaya mengatasi ketagihannya.
Selepas empat puluh tahun yang panjang, apabila umat Tuhan menyeberang ke tanah yang dijanjikan, Yosua memilih seorang lelaki daripada setiap dua belas suku untuk mengambil sebiji batu dari dasar sungai yang kering, “supaya batu-batu itu menjadi tanda antaramu” (Yosua 4:1-6). Yosua menggunakan batu-batu itu untuk membina sebuah mazbah sebagai penghormatan kekal kepada kuasa dan pemeliharaan Tuhan (ayat 19-24). Perjalanan umat Israel tidak mudah. Namun, Tuhan sentiasa bersama mereka—memberi air dari batu, manna dari langit, tiang awan pada waktu siang dan tiang api pada waktu malam untuk membimbing mereka—bahkan pakaian mereka tidak pernah usang! (Ulangan 8:4). Tugu peringatan itu menunjukkan kasih dan kuasa-Nya.
Tuhan melakukan perkara-perkara yang luar biasa! Apabila Dia mencukupkan keperluan kita, semoga kita dapat meninggalkan tanda penghormatan yang kekal atas kasih dan kuasa-Nya.