Masa itu merupakan awal musim sejuk tahun 1941. Ibadah Ahad baru sahaja selesai. Datuk saya masih berbual-bual dengan jemaah lain di dalam sebuah gereja kecil di kawasan utara, ayah saya dan adik-beradiknya berjalan kaki untuk pulang ke rumah yang tidak jauh dari situ. Apabila datuk mendaki bukit yang bersalji untuk menuju ke rumah ladang, dia menangis. Dia baru sahaja mendapat tahu bahawa Pearl Harbor telah dibom. Anak-anak lelakinya—termasuk ayah saya—harus pergi berperang. Ayah sentiasa mengingati detik itu dengan begitu jelas.
Para penyelidik menamakan peristiwa sebegini sebagai “memori sepintas kilat” (flashbulb memories)–iaitu detik-detik yang tersemat kukuh dalam fikiran kita sehingga tidak dapat dilupakan. Fikirkan peristiwa pada 11 September 2001 (9/11), atau hari anda kehilangan seseorang yang anda kasihi. Fikirkan juga tentang pengalaman anda yang paling menggembirakan.
Bayangkan betapa kuat dan jelasnya kenangan para murid Yesus. Mereka menyaksikan mukjizat demi mukjizat. Tiba-tiba, malapetaka melanda. Anak Allah, iaitu Yesus telah ditangkap dan disalib. Tetapi kemudian, Yesus bangkit! Maria Magdalena bergegas memberitahu murid-murid-Nya, “Aku telah melihat Tuhan!” (Yohanes 20:18). Namun, murid-murid-Nya masih bersembunyi kerana ketakutan. Mereka tidak mempercayai berita itu (Lukas 24:11), sehinggalah “Yesus berdiri di tengah-tengah mereka” (Yohanes 20:19). Kemudian, “murid-murid itu pun bersukacita” (ayat 20).
Yohanes mencatatkan detik-detik itu, dan berkata, “Segala yang telah ditulis di sini bertujuan supaya kamu percaya bahawa Yesus ialah Kristus, Anak Allah, dan kerana kamu percaya kepada-Nya, kamu akan memperoleh hidup dalam nama-Nya” (ayat 31). “Memori sepintas kilat” tetapi juga penuh dengan erti yang abadi.
