Magavau adalah upacara yang dilakukan semasa Kaamatan, manakala Miring pula semasa Gawai. Kedua-dua upacara ini mempunyai persamaan iaitu pemujaan dan memberikan persembahan kepada tuhan atau roh (semangat). Magavau dilakukan khas untuk memberikan penghormatan dan memanggil “Bambarayon” (semangat padi). Ini dilakukan agar rezeki mereka tidak berkurang dan bertambah banyak lagi pada tahun-tahun yang mendatang. Ini juga bertujuan untuk mengingati asal-usul dan pencipta mereka, iaitu “Kinorohingan” yang telah mengorbankan anaknya demi menyelamatkan mereka daripada kebuluran.
Manakala Miring pula dilakukan bagi menghormati dan memberi persembahan kepada tuhan yang dikenali sebagai Petara, roh dan nenek moyang suku kaum Iban. Upacara ini dilakukan agar tuhan mereka memberkati mereka dengan kekayaan, kesihatan, kebahagian dan kejayaan.
Bagi Kristian, jelas bahawa persembahan dan penghormatan hanya ditujukan kepada satu-satunya Tuhan yang hidup, iaitu Yesus Kristus kerana Dialah yang telah dan akan memberkati kita dengan segala kekayaan-Nya. Kita “…mesti bersyukur kepada TUHAN untuk kasih-Nya yang kekal, untuk perbuatan menakjubkan yang dilakukan-Nya bagi mereka. Dia memuaskan orang yang dahaga, dan mengenyangkan orang lapar dengan segala yang baik” (Mazmur 107:8-9).
Semasa perayaan Kaamatan dan Gawai, kita boleh mengambil kesempatan ini untuk mengucap syukur kepada Yesus Kristus dan membawa persembahan pujian kita kepada-Nya atas segala berkat-Nya. Yesuslah Pemberi berkat kepada kita, bukan dewa, roh atau tuhan yang lain.
Sempena pesta Kaamatan dan Gawai pada tahun ini, bagaimanakah anda dapat menunjukkan rasa syukur anda kepada Yesus atas berkat-Nya?
Kembali ke laman “Yesus Melebihi Adat dan Budaya”
Rancangan Pembacaan seterusnya:Unduk Ngadau serta Kumang & Keling
1|2|3|4|5