Ini merupakan acara pertandingan ratu cantik bagi memilih pemenang yang akan melambangkan Huminodun (Kaamatan) serta Kumang dan Keling (Gawai). Huminodun merupakan anak Kinorohingan (tuhan) yang telah dikorbankan bagi menyelamatkan orang Kadazandusun daripada mati kebuluran. Huminodun dibunuh dan dikubur kemudian tubuhnya mengeluarkan padi, Inilah sebabnya wujud kepercayaan bahawa padi mempunyai semangat yang dikenali “Bambarayon.” Manakala bagi orang Iban, Kumang dan Keling adalah dewa dan dewi yang mempunyai kekuatan yang luar biasa, kuasa ajaib dan kebijaksanaan. Mereka adalah pahlawan gagah yang selalu menolong orang Iban.

Setelah menjadi Kristian, sudah tentu kita tidak lagi memegang kepercayaan ini kerana kita tahu bahawa hanya Yesus Kristus ialah Penyelamat dan Penolong kita. “Kristus dipersembahkan sebagai korban satu kali sahaja untuk menghapuskan dosa banyak orang. Dia akan menunjukkan diri sekali lagi, bukan untuk menyelesaikan masalah dosa, tetapi untuk menyelamatkan orang yang menantikan Dia” (Ibrani 9:28). Yesus telah mati bagi semua umat manusia agar orang percaya diselamatkan daripada kematian kekal (Yohanes 3:16). Malah Dia telah hidup semula untuk selama-lamanya untuk memberi kita kemenangan.

Sempena pesta Kaamatan dan Gawai ini, renungkanlah pengorbanan terbesar dan mulia Yesus Kristus. Kerana Dia, kita diselamatkan dan mendapat kehidupan yang kekal. Dia jugalah satu-satunya kekuatan dan penolong kita. Tidak ada yang dapat menandingi kekuasaan-Nya, “Sungguh agung dan perkasa Tuhan kita; kebijaksanaan-Nya tidak terhingga” (Mazmur 147: 5).

Sempena Kaamatan dan Gawai tahun ini, mari kita mengucap syukur kepada Bapa yang di syurga kerana Dia memberi anak-Nya yang tunggal, Yesus Kristus untuk mati demi menyelamatkan kita daripada kematian kekal.

Kembali ke laman “Yesus Melebihi Adat dan Budaya”
Rancangan Pembacaan seterusnya:Pesta Pora dan Kemabukan
1|2|3|4|5