Seperti pesta Kaamatan, pesta Gawai juga akan menghidangkan tuak sebagai salah satu hidangan utama. Bagi masyarakat Iban, salah satu ritual pada sambutan Gawai ialah minum “ai pengayu”, iaitu tuak yang diperbuat daripada beras dan ragi. “Ai pengayu” diminum untuk memohon umur panjang dan kesihatan daripada petara (tuhan dalam kepercayaan pagan) iaitu “Salampandai” yang dipercayai memberi kehidupan kepada manusia.

Kepercayaan ini sangat bertentangan dengan iman Kristian. Nafas dan kehidupan kita adalah pemberian Tuhan. Kita hidup dan bernafas semuanya kerana dan melalui Dia. “Allah menjadikan segala sesuatu melalui Dia. Tiada sesuatu pun di alam semesta ini yang dijadikan tanpa Dia. Firman itu sumber hidup, dan hidup itu memberikan cahaya kepada manusia” (Yohanes 1:3-4). Tuhanlah “sumber segala kehidupan, dan kerana cahaya-Mu, kami dapat melihat cahaya” (Mazmur 36:10).

Nafas dan hidup kita berasal daripada Tuhan, bukan daripada tuhan atau dewa yang lain. “TUHAN Allah mengambil sedikit tanah dan membentuk manusia, lalu menghembuskan nafas yang memberi hidup ke dalam lubang hidungnya; maka hiduplah manusia itu” (Kejadian 2:7). Kita tidak perlu makan dan minum sesuatu untuk memohon kesihatan dan umur yang panjang daripada Tuhan. Kita boleh datang terus kepada-Nya melalui Yesus Kristus untuk memohon kesihatan dan berterima kasih kerana masih bernafas sehingga hari ini.

Sempena Kaamatan dan Gawai ini, ambillah masa bersama-sama keluarga untuk berdoa dan memohon kesihatan daripada Yesus Kristus untuk diri sendiri dan ahli keluarga kita.

Kembali ke laman “Yesus Melebihi Adat dan Budaya”
Rancangan Pembacaan seterusnya:Mengelilingi Ranyai
1|2|3|4|5